Kebaikan Dan Keburukan Penambahan Pemain Import

FMLLP telah menambah satu slot kouta pemain import ASEAN kepada kesemua 12 pasukan yang bertanding untuk musim depan. Ini menjadikan semua pasukan dibenarkan mendaftar 5 pemain import dengan formula 3 + 1 (Asia) + 1 (ASEAN).

Apakah kebaikan dan keburukan penambahan satu slot kouta import ASEAN ini?

Kebaikan

1. Meningkatkan nilai Liga Malaysia

Pengambilan pemain import ASEAN akan membuatkan lebih ramai orang akan menonton bola sepak Malaysia dari rantau ASEAN. Apabila perkara sebegini berlaku, ianya akan menambah skop penonton Liga Malaysia. Aspek ini penting untuk mendapatkan keuntungan hak penyiaran yang tinggi daripada penyiar rasmi Liga Malaysia nanti. Selain itu dapat juga menambah nilai komersial Liga Malaysia dalam menarik penaja-penaja besar untuk melakukan penajaan kepada pasukan.

2. Pendedahan kepada pemain tempatan

Syarat 3o caps kebangsaan untuk pemain import ASEAN adalah satu perkara bagus. Hal ini akan memberi satu pendedahan untuk pemain negara belajar corak dan menteliti pemain yang telah memiliki 30 caps wakil negara mereka.

3. Membina hubungan antara liga serantau

Mulai musim hadapan, bukan sahaja Malaysia malahan Thailand turut membuka slot baru bagi pemain ASEAN untuk membantu pembangunan bola sepak serta menaikkan lagi atmosfera bola sepak dirantau Asia Tenggara khasnya.  Perkara ini akan memudahkan proses pengambilan pemain antara pasukan di Malaysia dan Thailand kerana masing-masing terpaksa mendapatkan 1 slot pemain import ASEAN. Ini peluang terbaik untuk pemain Malaysia untuk beraksi dalam liga bola sepak Thailand yang dilihat sebagai sebuah liga bola sepak terbaik rantau Asia Tenggara.

Keburukan 

1. Skuad kebangsaan akan terus berhadapan dengan krisis pemain penyerang

Sudah menjadi kelaziman pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia akan berlumba-lumba untuk mendapatkan pemain import di bahagian serangan. Lihat sahaja musim ini, majoriti pemain import adalah di posisi serangan, musim ini juga pemain penyerang tempatan kurang diberi peluang dan ruang. Maka penambahan slot impot ini kemungkinan besar akan menyempitkan lagi ruang dan minit perlawanan pemain penyerang tempatan. Malahan pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada turut mengakui Harimau Malaya kekurangan pemain penyerang yang bagus.

2. Kelebihan kepada pasukan yang kaya

Penambahan pemain import pastinya tidak memberi masalah kepada pasukan yang kaya kerana mereka memiliki dana yang kukuh. Manakala untuk pasukan yang miskin pastinya mereka sedikit tertekan untuk menyalurkan kos tambahan kepada pemain import kerana pasukan miskin memiliki dana yang terhad. Pasukan miskin tiada selain turut mendapatkan pemain import kelima untuk memberi saingan kepada pasukan kaya yang memiliki lima pemain import. Menjadi masalah apabila pasukan miskin ini berbelanja melebihi kemampuan, maka tak mustahil krisis gaji akan kembali kedengaran di musim hadapan.

3. Minit pemain tempatan makin mengecil

Penambahan satu slot import bermakna akan mengorbankan satu slot pemain tempatan. Sudah menjadi kelaziman kepada setiap pasukan untuk mendahulukan pemain import berbanding pemain tempatan. Tak mustahil pasukan negara akan menghadapi krisis pemain di lain-lain posisi selain penyerang.

Kesimpulan

Formula 3+1+1 yang diperkenalkan oleh FMLLP memberi kebaikan dan keburukan kepada Liga Malaysia. Ianya bergantung kepada bagaimana formula tersebut digubah oleh pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia. Pasukan dalam Liga Malaysia perlu bijak dalam mengatur kewangan pasukan dan berbelanja mengikut kemampuan. Diharapkan juga pengurusan pasukan dalam Liga Malaysia tidak mendahulukan kepentingan pemain import berbanding dengan pemain tempatan.

Leave a Reply