MSN Kelantan Mahu Belajar Memajukan Sukan Daripada Terengganu

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Kelantan mahu mengikut jejak langkah Terengganu yang baru muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) Perak baru-baru ini bagi memperkasa pengurusan sukan negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya bercadang menjadikan model pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu sebagai rujukan bagi membangunkan sukan negeri berkenaan.

“Sebelum ini MSN Kelantan berbeza sedikit daripada negeri-negeri lain kerana pengurusannya ditadbir kerajaan pusat namun ia akan diserahkan kepada kerajaan negeri mulai awal Januari tahun depan berikutan perubahan polisi Kementerian Belia dan Sukan.

“Sehubungan itu, kami mahu mempelajari model pengurusan dan pentabdiran sukan daripada jiran kami, Terengganu yang cemerlang dalam bidang sukan sehingga peringkat antarabangsa,” katanya selepas mengadakan lawatan muhibah di MSN Terengganu di Gong Badak di sini hari ini.

Kehadiran rombongan diketuai Wan Roslan disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dan timbalannnya, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah MSN negeri, Ibni Amin Busu.

Leave a Reply